Back

Maybank Islamic terokai bantuan golongan nelayan di Kedah

KUALA NERANG: Sejumlah 70 keluarga nelayan menerima bantuan peralatan menangkap ikan, peruntukan pembaikian bot serta pek barangan makanan asas daripada Maybank Islamic hari ini.

Pemangku Ketua Pengurusan Syariah Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud berkata mereka yang terbabit adalah nelayan tasik di beberapa kawasan di daerah Kuala Nerang, yang memperolehi hasil tangkapan di sekitaran Tasik Pedu dan Tasik Gubir.

“Kami berbesar hati dapat menyumbang kepada golongan nelayan di sini memandangkan ini adalah usaha pertama seumpamanya kami jalankan. Semoga usaha ini dapat meringankan beban dan membantu mereka meneruskan aktiviti tangkapan selain menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat”.

Majlis yang dianjurkan bersama Islamic Aid Association Malaysia (IAM) ini juga menyaksikan kehadiran wakil-wakil penduduk setempat serta Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Beliau juga menambah bahawa Maybank Islamic menerusi program-program tanggungjawab koporatnya, selain pembangunan pendidikan dan kesihatan kanak-kanak, fokus juga adalah untuk memperkasakan masyarakat setempat. Ini bersesuaian dengan matlamat menginsankan perkhidmatan kewangan di mana jua Maybank beroperasi.

Selain Kuala Nerang, Maybank Islamic juga membantu lebih 900 keluarga miskin di Baling dan Sik Kedah, yang kebanyakannya penoreh getah dan melakukan kerja-kerja kampung. Sumbangan berjumlah lebih RM300 ribu berupa makanan asas dan peralatan rumah disampaikan di satu majlis berasingan, juga dengan kerjasama Islamic Aid Association Malaysia (IAM).