Back

Maybank Islamic, Maybank Indonesia, dan SIRCLO jalin kerjasama untuk menyokong pertumbuhan perniagaan digital di kalangan UMKS di Indonesia

JAKARTA, 19 Mei 2024: Maybank Islamic Berhad dengan kerjama Unit Usaha Syariah Maybank Indonesia dan SIRCLO, penyedia solusi omnichannel commerce terkemuka di Indonesia hari ini menamatkan siri program ‘Panen Omset’ yang bermaksud ‘Terus Maju’ di empat bandar utama di Indonesia melalui acara LokaLokaL yang diadakan di Urban Forest Cipete, Jakarta Selatan.

Program Panen Omset dirangka untuk menyokong usahawan Mikro, Kecil, dan Sederhana (UMKS), dengan fokus khusus kepada komuniti asnaf untuk menceburi bidang perniagaan digital. Maybank Islamic telah menyumbangkan hampir RM230 ribu (766 juta Rupiah) yang memberi manfaat kepada 400 peserta dari empat bandar, iaitu Bandung, Yogyakarta, Bandung, dan Bali.

Ketua Pengurusan Shariah, Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud berkata, “Program Panen Omset bertujuan untuk memperkenalkan strategi perniagaan digital kepada UMKS bagi meningkatkan jualan mereka dan meluaskan jangkauan pasaran, sambil memudahkan peralihan mereka ke platform perniagaan digital dan memperkenalkan amalan perniagaan lestari”.

Melalui program ini, peserta diketengahkan dengan siri modul latihan komprehensif merangkumi aspek penting yang diperlukan untuk pertumbuhan perniagaan ynag mampan dari pemasaran digital hingga memahami undang-undang yang berkaitan dengan operasi perniagaan serta peserta juga akan didedahkan dengan kemahiran kelestarian dengan modul 3R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula).

Program ini diatur melalui tiga peringkat yang berbeza, memastikan pengalaman pembelajaran yang pelbagai termasuk secara fizikal, dan secara atas talian serta sesi pemantauan dilaksanakan selama empat minggu, menawarkan panduan dan sokongan kepada para peserta.

Maybank Islamic sentiasa komited dalam merangka program impak sosial yang mampan serta pemerkasaan komuniti serta menjadi organisasi yang bertanggungjawab melalui prinsip menyepadukan kriteria Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selaras dengan tuntutan Maqasid al-Syariah.

Pada tahun ini, Maybank Islamic memperuntukan lebih RM1.2 juta bagi golongan kurang berkemampuan di Indonesia daripada RM36 juta dana zakat yang disalurkan melalui program-program kemasyarakatan berimpak tinggi sepanjang tahun 2024.