Back

MAYBANK ISLAMIC, TM JALIN KERJASAMA TAWAR PERKHIDMATAN PERBANKAN ISLAM DENGAN RANGKAIAN 5G

MAYBANK ISLAMIC, TM JALIN KERJASAMA TAWAR PERKHIDMATAN PERBANKAN ISLAM DENGAN RANGKAIAN 5G

Pakej perbankan perniagaan mudah alih 'Go Niaga' yang pertama seumpamanya untuk memperkasakan usahawan tempatan dan PMKS.

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2024: Maybank Islamic Berhad dan TM, peneraju industri perbankan Islam dan telekomunikasi menjalinkan kerjasama strategik melalui Perbankan sebagai Perkhidmatan (BaaS) yang pertama yang digerakkan oleh 5G. Perkhidmatan ini direka untuk pengguna dan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggabungkan perkhidmatan kewangan oleh Maybank Islamic dan pakej mudah alih Uni5G TM, menawarkan pelanggan kepada akses dan pengalaman yang lancar secara digital.

Pakej perkhidmatan perbankan perniagaan mudah alih pertama ‘Go Niaga’ ini ditawarkan kepada usahawan tempatan dan PMKS bagi membantu mereka menguruskan kewangan, meningkatkan pendapatan dan menawarkan pilihan pembayaran digital yang didayakan oleh rangkaian digital yang selamat daripada TM. Pakej ini mengisi jurang pasaran semasa dalam segmen ini dan memperluaskan jangkauan perniagaan kepada lebih ramai pelanggan melalui perkhidmatan e-Dagang.

Dato’ Mohamed Rafique Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic berkata, “Kerjasama antara syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dan Maybank Islamic ini membuka peluang baharu kepada kami untuk memberikan perkhidmatan perbankan Islam yang unik kepada pelanggan. Kerjasama ini merupakan satu inovasi dalam inklusi kewangan yang merangkumi penyelesaian Bank BaaS menerusi platform TM. Kini, individu atau peniaga yang tanpa kelayakan pembiayaan (unbankable) atau kurang khidmat bank (underbanked) mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan Maybank dengan liputan rangkaian mudah alih 5G melalui teknologi inovasi daripada TM.”

“Walaupun teknologi ini berasal daripada konsep BaaS, apa yang menjadikannya unik ialah pematuhan terhadap prinsip patuh syariah, menjadikannya perintis pertama di Malaysia. Ia menggabungkan teknologi moden dengan keperluan etika kewangan Islam, menyediakan perkhidmatan kewangan yang inovatif dan patuh syariah,” katanya.

Shanti Jusnita Johari, Ketua Pegawai Komersial bagi Strategi Pengguna & Perniagaan di Unifi berkata, “PMKS adalah sektor pertumbuhan penting dalam ekonomi negara. Segmen ini kini menyumbang hampir 38% kepada KDNK Malaysia, namun potensi mereka terhalang oleh akses yang terhad kepada alat digital dan perkhidmatan kewangan. Ini lebih ketara dalam kalangan segmen yang kurang berkemampuan, perniagaan mikro dan kecil yang menghadapi banyak cabaran dalam mengakses perkhidmatan kewangan dan inovasi digital yang diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup dan sumber pendapatan mereka.

“Sebagai rakan kerjasama yang dipercayai kepada lebih 400,000 PMKS di seluruh negara, kami percaya kerjasama strategik ini merupakan satu intervensi yang tepat untuk menangani cabaran yang sedia ada dengan berkesan dan membantu peniagaan tempatan meraih peluang ekonomi digital. Kerjasama ini merupakan batu loncatan dalam visi untuk menjadi sebuah pusat kuasa digital pada tahun 2030 serta misi kami untuk menggerakkan Malaysia Digital, meningkatkan perniagaan dan masyarakat melalui teknologi, seterusnya menuju ke arah sebuah negara yang inklusif secara digital,” tambahnya.

Mengenai pakej Go Niaga Maybank Islamic dan Unifi Business:

Pakej perbankan perniagaan mudah alih Go Niaga merupakan pakej perkhidmatan pertama oleh Maybank Islamic dan TM ini bertujuan untuk memenuhi keperluan perbankan asas untuk para usahawan tempatan dan PMKS.

Bagi membantu perniagaan tempatan menyelaras operasi mereka, pakej Go Niaga menawarkan:

a) Deposit minimum serendah RM100 untuk membuka akaun SME First Account-i: membenarkan pelanggan memisahkan akaun peribadi dan perniagaan yang akan membantu meningkatkan penarafan kredit mereka dalam jangka panjang.

b) Kemudahan pembayaran melalui Maybank QRPay Biz dan Tap2Phone - membolehkan POS awan (cloud-based) melalui peranti mudah alih bagi memudahkan pembayaran secara digital/kad.

c) Kemudahan Kredit termasuk Pembiayaan Digital SME Maybank Islamic: Program Aspirasi Wanita - memberikan lebih banyak usahawan akses kepada dana yang boleh membantu mereka menstabilkan dan memperluas perniagaan mereka.

d) Pelan mudah alih Uni5G Postpaid Biz 39, Uni5G Postpaid Biz 55 dan Uni5G Postpaid Biz 89 dipakejkan dengan peranti mudah alih 5G percuma – memastikan akses yang selamat kepada perkhidmatan kewangan pada bila – bila masa, di mana saja dengan keupayaan 5G kepada komuniti yang lebih ramai.

e) Rebat tunai pada bil Unifi Mobile apabila pelanggan mendaftar dan mengaktifkan untuk kemudahan pembayaran peniaga Maybank Tap2Phone dan pakej Uni5G Postpaid Biz.

Fasa permulaan ini akan tersedia dari 21 Februari sehingga 29 Mei 2024, dan pelanggan boleh melawat ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi), cawangan Maybank dan Unifi Stores terpilih di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran yang diberikan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://maybank.my/goniaga atau http://biz.unifi.com.my/goniaga

 

Dari kiri :Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican, Ketua Pegawai Komersial TM (Strategi & Perniagaan Pengguna) Shanti Jusnita dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, di majlis pertukaran dokumen.